Konflik Percintaan Biasa
Pernahkah anda mendengar kisah? Sebuah kisah yang melibatkan hati. A menyukai B, sangat suka dan berusaha menambat hatinya. Tetapi malangnya B tidak memberi respons yang baik, kerana dia menyimpan perasaan terhadap C. Lebih merumitkan keadaan apabila C adalah rakan A dan dia tidak dapat membalas kasih B atas alasan tidak mahu melukakan A. Lagipun B dia anggap tidak lebih daripada seorang rakan. Dalam satu kisah lain pula, D menyimpan rasa terhadap E tetapi malu untuk menyatakan kerana dia rasa tidak mungkin E akan menyambut cintanya. Adalah juga D memberi klu (hint) tetapi E tidak memberi respons. Lalu rasa sayang itu hanya dibiarkan bercambah dalam hati. Masa berlalu dan pada satu hari, D mendapat tahu bahawa sebenarnya E juga menyimpan perasaan terhadapnya. Bagai bulan jatuh ke riba, D amat gembira dengan perkhabaran itu dan bersatulah mereka dalam restu Ilahi. Sebuah kata cinta yang tak pernah terlafaz, perhubungan yang tak pernah terjalin, tetapi akhirnya berakhir dengan indah. Nampak tak logik, tetapi ia berlaku. Ada pula kisah lain, apabila F ditanya,
“Kenapa kamu suka pada dia? Kenal pun tidak, nama pun tak tahu, dulu tak suka pun, kenapa tiba-tiba boleh suka?”
Wah, payah benar untuk F menjawabnya. Kerana dia sendiri tidak tahu, cuma yang dia tahu dalam hatinya ada rasa sayang untuk insan itu. Jika ditanya kenapa, dia tidak tahu. Tidak ketinggalan juga ada situasi yang sepasang kekasih yang mabuk bercinta, bagaikan belangkas ke hulu ke hilir, namun setelah bertahun-tahun, berpisah begitu sahaja. Cinta yang kononnya begitu kukuh dalam hati, lenyap tanpa dapat diterangkan kenapa. Hati itu berubah tanpa dapat ditahan oleh pemiliknya.
Apakah pengajarannya?
Ini yang ingin saya tanyakan. Setelah membaca kisah-kisah di atas, apakah yang dapat disimpulkan? Pelbagai kesimpulan mampu dibuat kerana soalan yang saya tanya ini sangat subjektif jawapannya. Tetapi pada pendapat saya tidak, soalan saya ini ada satu jawapan yang mudah- ada kuasa lain yang maha berkuasa yang sedang memegang hati kita. Bagi yang mukmin, kuasa itu adalah ALLAH. Betul, ALLAH yang memegang setiap hati hamba-hambaNYA. Kalau tidak masakan kita boleh menyayangi seorang yang tidak menyayangi kita. Bukankah itu satu perkara yang tidak patut? Tetapi kita tak dapat menghalang bila rasa itu datang. Namun ALLAH yang maha bijaksana, telah melengkapkan Islam dengan memberi cara-cara untuk mengawal segala rasa ini. Begitu indahnya Islam ini bagi setiap insan yang berfikir. Dalam krisis percintaan yang sudah menjadi ‘trend’ pun kita dapat mempelajari sesuatu. Merasai kekuasaan ALLAH, menjadi bukti bahawa kita hanya insan kerdil sehingga hati kita sendiri pun kita tidak tahu! Selaras dengan ayat-ayat yang kita selalu temui dalam Al-Quran, sesungguhnya dalam setiap penciptaan ALLAH itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berfikir. Jadi, dalam konflik percintaan yang biasa kita dengar ini, bijaklah dalam memilih pengajarannya. Jangan hanya bijak menyulam kasih, tetapi buta dalam mencari pengajaran, rugilah akal fikiran yang dikurniakan ALLAH.
Kaitan dengan kehidupan seharian
Allah memegang hati setiap hambaNYA. Setiap hati milik ALLAH. Mengaplikasikannya pengajaran ini dalam kehidupan, adalah tatkala kita mahu melakukan perubahan pada diri. Ingin melakukan perubahan menuntut pengorbanan. Pengorbanan melawan kehendak hati yang masih terikat pada keseronokan. Kita selalu rasa terlalu sukar untuk melakukan perubahan. Tidak senang bila masa yang selalu digunakan untuk bersuka ria terpaksa diluangkan untuk sesuatu aktiviti yang tidak berkenan di hati. Walaupun hati kita meronta tidak suka, tetapi jika ia adalah kebaikan, teruslah berusaha. Kerana hati itu milik ALLAH, siapa tahu esok lusa rasa tidak suka itu berubah. Kita selalu menasihati rakan kita agar tidak keluar dating, jangan pegang tangan yang bukan muhrim, tetapi seakan liat benar hati mereka untuk menerima nasihat itu, jangan lelah untuk terus mencuba, kerana kita yakin dengan pernyataan, ALLAH yang memegang hati setiap hambaNYA. Kalau orang yang tidak sangka akan menyayangi, boleh menyayangi kita, tidak mustahil hati kita yang selama ini sangat menentang pemakaian tudung, pengajaran sunnah, pengaharaman pegang tangan dan bermanja-manja sebelum kahwin, akan kembali dan memahami Islam. Kerana hati itu milik ALLAH, hidayah itu milik ALLAH. Jangan berputus asa untuk mencuba.
Kalau mahu dikaitkan dengan kisah percintaan tadi. A tak perlu kecewa bagai handak mati bila B tidak menerima cintanya. Dan jika nanti mungkin C berkahwin dengan A, B tidak perlu meyimpan dendam. Kerana hati itu milik ALLAH. Berdoalah agar hati itu kuat. Memang kali ini hati kita seakan tidak mampu kalau tidak menyayangi, dengan kuasa ALLAH, ALLAH akan membalikkan hati kita kepada yang lebih membahagiakan. Mungkin inilah yang dilakukan oleh D bila E tidak memberi respon, berdoa dan berusaha memperbaiki diri, sehingga dia tabah menempuhi masa yang panjang, dan akhirnya berolah kebahagiaan. Satu lagi pengajaran yang baik buat insan yang mahu berfikir.
Mengapakah cinta?
Banyak lagi perumpamaan lain yang boleh diketengahkan untuk menjadi bukti kekuasaan ALLAH. Kejadian tsunami ke, pertumbuhan pokok ke, dan pelbagai lagi. Namun saya memilih cinta kerana ia dekat dengan remaja sekarang. Ramai yang hanyut kerana cinta. Dan lebih menyedihkan, ada yang menjadikan hujah ALLAH memegang hati setiap hambaNYA sebagai lesen menjadi hamba cinta! Bila dinasihati agar berhenti dari keluar berduaa-duan bagai belangkas, bergayut di telefon sampai ke pagi, berpegangan tangan, mereka menjawab,
“Nak buat macam mana, aku sayang sangat kat dia.”
“Dah ALLAH takdirkan aku sayang kat dia, aku tak mampu nak buat apa-apa.”
Bagi saya ini kata-kata orang yang tidak beriman. Maaf jika kasar. Lebih malu lagi, bila seorang lelaki yang mempunyai sembilan akal, mengikut telunjuk syaitan untuk hanyut bersama kekasih atas satu alasan, cinta! Nyata, mereka telah salah dalam mengambil pelajaran pada kekuasaan ALLAH ini. Salah dalam mengambil pelajaran, sehingga memberi ruang kepada syaitan menjadikan perbuatan buruk mereka terasa indah.
Hati itu bukan milik kamu! Jangan salah mengambil pengajaran, jangan hanyut dengan rasa sendiri. Berusaha mengawalnya dengan iman, berusaha paksa dirimu dengan keindahan syurga, jangan berputus asa untuk mencuba membawa hati dekat pada Ilahi, kerana sekali lagi, HATI ITU BUKAN MILIK KAMU!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan