BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

welcome.. =)


Jumaat, 24 April 2015

DI PAKSA BERKAHWIN PEREMPUAN CANTIK BAHAGIAN 7 (PENGAKHIRAN)

Alhamdulillah. Allah permudahkan kerja kami. Aku sudah sah menjadi suami kepada Seroja, dan selepas bersalaman dengan Seroja, gentar dan malu aku kepada Seroja mula berkurang. Malah aku mula memanggil dia, 'sayang'. Lalu selepas kenduri, kini aku dan Seroja sudah berada di dalam bilik, berdua-duan untuk pertama kalinya.

Aku masih ingat pertanyaan aku dalam hati, pada malam aku bertemu ayah dan emak Seroja. Kini pertanyaan dalam hati itu aku luahkannya dengan lidah, “Sayang, mengapa sayang setuju untuk bernikah dengan lelaki seperti abang? Lelaki yang belum tentu masa depannya, dan mungkin juga membuat sayang derita.”

Tidak sangka, pertanyaan melalui lidah aku menjadi lebih panjang dan detail pula berbanding pertanyaan dalam hati.

Seroja yang waktu itu sedang duduk malu-malu, memandang aku lalu menyalami tangan aku, dan berkata, “Ampuni Seroja bang, ampuni Seroja.”

Aku mula berdebar-debar dan tidak sedap hati.

“Ampuni apa sayang?”

“Sebab, Seroja sebenarnya sempat curiga juga dengan abang. Seroja sempat tidak yakin dengan abang. Malah Seroja minta tolong kawan Seroja, yang kebetulan tinggal berhampiran abang di kota supaya menyiasat latar belakang abang. Malah, Seroja juga solat iskhtikarah hanya kerana ragu-ragu kepada abang.”

Debar aku kembali menurun. Rupa-rupanya, Seroja lebih dahulu menyiasat latar belakang aku? Malunya aku. Tetapi sekarang dia sudah jadi isteri aku, lalu aku angkat kepalanya dan pandang ke arah matanya.

“Abang ampunkan. Abang pun minta maaf, sebab abang pun pernah juga berasa curiga kepada sayang.”

Seroja tersenyum. Bukan senyum manis biasa, tetapi senyuman seorang perempuan yang bahagia, dan senyuman itu sangat ajaib kerana ikut membuatakan aku berasa bahagia. Mungkin inilah perasaan, bahagia yang datang daripada kelakuan kita yang membahagiakan orang lain. Tetapi persoalan aku tadi masih belum terjawab sepenuhnya.

“Jadi, apa kata kawan sayang?” lanjut aku mahu tahu. Risau juga kawan dia cakap yang bukan-bukan.

“Katanya, abang ini kerja tidak tetap. Motosikal pun pinjam motosikal kawan, tetapi katanya dia sentiasa melihat abang membaca ruangan akhbar mencari kerja, menghantar surat, dan sentiasa memeriksa peti surat. Maksudnya, abang ini seorang yang rajin berusaha. Katanya lagi, dia tidak pernah nampak abang keluar dengan mana-mana perempuan. Solat pun abang buat berjemaah di surau.”

Aku mula tersipu-sipu. Jadi bagi mengelak lebih tersipu-sipu, aku bertanya, “Tetapi orang secantik sayang takkan tidak ada orang mahu. Pasti ramai yang mahukan sayang, dan mungkin pasti juga yang ada sudah menghantar rombongan meminang.”

Seroja sekali lagi tersenyum.

“Ya, memang ramai lelaki yang cuba dekat dengan Seroja, tetapi Seroja sangat takut. Sebab, teringat kepada kakak Seroja?”

“Mengapa dengan kakak, sayang?” soal aku segera.

Seroja pun bercerita panjang lebar, dan tahulah aku yang kakak dia sudah meninggal. Kakak Seroja dahulu juga seorang perempuan cantik, dan ramai lelaki yang mahukan dia. Akhirnya, dia kahwin dengan lelaki pilihan hatinya sendiri. Lelaki yang kacak, berpelajaran tinggi, dan bekerja yang gajinya lumayan. Sayangnya, selepas setahun berkahwin, suami kakaknya mula berubah kerana belum mendapat anak. Mula balik lewat dan sering marah-marah.

Malah, apabila suami kakaknya dibuang kerja kerana krisis ekonomi, hidup mereka menjadi susah dan, suami kakaknya juga semakin besar perubahannya. Dia sudah tidak balik berhari-hari, apabila balik pula, hanya meminta wang, marah-marah dan memberi sepak terajang. Kemudian pecahlah rahsia, rupa-rupanya suami kakaknya itu sudah ada perempuan lain. Lalu pada hari itu, dengan hati yang kusut, kakak Seroja gagal mengawal keretanya lalu kemalangan dan meninggal dunia. Akhir ceritanya itu, terus aku genggam tangan Seroja erat-erat.

“Sebab itulah, Seroja takut bagi menerima mana-mana lelaki dalam hidup Seroja. Malah, Seroja juga sebenarnya sudah mengamanahkan ayah dan ibu mencari lelaki yang sesuai untuk Seroja. Biar tidak kaya, biar tidak kacak, tetapi lelaki itu mampu membahagiakan hidup dengan kasih-sayang dan mendamaikan hati dengan agama.”

Akhirnya, semuanya sudah jelas. Mengapa ayah dan ibu Seroja memilih lelaki seperti aku, dan mengapa Seroja menerima aku dalam hidupnya. Genggaman tangan aku semakin kuat.

“Abang... jaga Seroja. Jaga dan mohon jangan lukakan hati Seroja. Mohon bang,” rayu Seroja dan aku anmpak matanya mula ada air mata yang berkolam, dan kemudiannya air itu tumpah. Segera aku menyeka air mata Seroja.

“Abang, bukan lelaki terbaik, dan abang tidak mampu berjanji menjadi suami yang terbaik untuk sayang. Abang cuma mampu berjanji, abang berusaha menjadi lelaki yang terbaik itu, dan berusaha menjadi suami yang terbaik untuk sayang,” kata aku perlahan, dan Seroja terus memeluk aku, dan aku perasan, bahu aku sudah basah dengan air mata Seroja.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Followers

nur diana fatimah