BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

welcome.. =)


Jumaat, 24 April 2015

DI PAKSA BERKAHWIN PEREMPUAN CANTIK BAHAGIAN 6

Malam itu, walaupun aku sudah salin alamat daripada ayah aku, tetap jugalah aku sesat. Aku sampai, selepas isyak, bukannya selepas maghrib. Aku lihat makanan sudah sedia terhidang di atas meja, dan nampak sudah sejuk. Mungkin perut Seroja dan orang tuanya juga sudah lapar.

“Maafkan saya sebab lambat.”

“Tidak mengapa, masuklah,” kata seorang lelaki yang sebaya ayah aku. Mungkin dia adalah ayah Seroja dan bakal ayah mertua aku.

“Ooo... inilah Saiful. Ayah kamu kata kamu akan balik lusa, cepat pula kamu balik,” tegur seorang perempuan pula, yang aku yakin adalah emak Seroja.

“Ada hal sedikit,” balas aku dan kemudian berkata, “Kenalkan ini kawan saya Izal. Emak dan ayah saya tidak dapat datang.”

Kemudiannya, Seroja keluar dari dapur dengan dan dia kelihatan sangat cantik. Terpegun aku dan aku sempat melihat wajah Izal yang ikut terpegun.

“Untunglah kau,” bisik Izal.

Selepas makan, kami duduk pula di ruang tamu dan pada waktu itulah, aku jeling-jeling Izal supaya mula menjalankan kerjanya.

“Saiful beritahu, yang ini kali pertama dia berjumpa dengan pak cik dan mak cik. Malah dengan Seroja pun baru semalam berjumpa,” kata Saiful memulakan bicara dan aku mula berdebar-debar.

“Ya, kali pertama berjumpa. Sebelumnya, kami lihat wajahnya dalam gambar pasport yang emak dia beri,” jawab ayah Seroja.

Aku semakin berdebar-debar. Emak aku beri gambar pasport? Ah, sudah! Matilah aku.

“Tidak sangka, orang betulnya, kacak juga,” sambung emak Seroja pula.


Aku mula berasa pipi aku panas. Jarang betul orang puji aku kacak. Kalau puji kacak pun, ada makna di sebaliknya. Entah-entah emak Seroja pun cuma mahu menjaga hati.

“Itulah saya hairan. Sebab Saiful beritahu, orang tua dia yang aturkan. Tidak sangka, zaman sekarang masih ada lagi perkahwinan yang diatur oleh orang tua. Apa rahsianya pak cik?” Izal memang tidak menunggu lama. Terus sahaja dia bertanya sambil ketawa-ketawa kecil. Jadi, walaupun soalan itu serius, tetapi ia nampak seperti bergurau.

“Tidak ada rahsia apapun. Saiful tidak beritahu kamu?”

Izal pandang aku, kemudian dia padang ayah Seroja dan menggeleng.

Terus aku kata, “Sebenarnya saya pun tidak tahu apa-apa.”

“Kamu tidak tanya ayah dan emak kamu?”

Pada waktu itulah, aku mula berasa menyesal. Ya, aku tidak tanya pun ayah dan emak aku mengapa dia pilih Seroja. Yang aku tahu, emak aku cuma tanya, “Mahu emak carikan kamu jodoh?” Aku pun terus kata, “Boleh.” Tahu-tahu, dua minggu selepas itu, aku sudah bertunang dan dalam masa sebulan akan berkahwin. Itupun tunang guna duit emak aku. Memalukan betul.

“Saya tidak tanya.”

Ayah Seroja mula ketawa kecil.

“Begini, saya dan ayah kamu itu memang sudah lama kenal. Suatu hari, borak-borak di kedai kopi, kami bercerita tentang anak masing-masing, kemudiannya terus bercerita berkenaan jodoh, dan akhirnya, terus kepada rancangan mahu menjodohkan anak masing-masing. Selepas itu, inilah yang terjadi,” jelas ayah Seroja.

“Begitu sahaja pak cik? Mudahnya!” Izal nampak terkejut, dan aku pun sebenarnya agak terkejut juga. Ya, mudahnya.

Emak dan ayah Seroja hanya tersenyum lebar.

Ayahnya berkata, “Tidaklah semudah itu. Kami pun mahu yang terbaik untuk anak bongsu kami. Kami pun ada siasat latar belakang Saiful.”

“Jadi pak cik tahu yang Saiful ini menganggur dan tidak ada duit?” soal Izal dan membuatkan aku geram tetapi dalam masa yang sama berasa sangat malu. Tiba-tiba aku berdoa supaya tubuh aku menjadi kecil, supaya senang aku menyorok bukan sahaja muka, tetapi seluruh tubuh aku di balik bantal.

“Tahu,” jawab ayah Seroja sambil ketawa kecil lagi.

“Jadi?” Izal menyoal sambil memusingkan tangan kanannya. Aku dapat agak Izal sebenarnya mahu kata, “Jadi, mengapa masih pilih Saiful?” Mungkin kerana tidak sampai hati, dia cuma buat isyarat tangan sahaja. Ya, aku tahu betul sebab sudah lama aku kenal Izal.

“Itulah yang diberitahu oleh ayahnya. Katanya, anak dia tidak kacak, tidak ada kerja tetap, dan malah, bulan-bulan masih minta duit daripada emaknya. Tetapi, daripada situlah pak cik tahu, Saiful ini akan menjadi suami yang baik.” Ayah Seroja tidak lagi tersenyum, sebaliknya memandnag aku dengan wajah serius. Aku pula terus tunduk malu. Malunya aku. Rupa-rupanya mereka sudah tahu yang aku ini minta duit bulan-bulan daripada emak aku.

“Jadi?” Izal sekali lagi menggerak-gerakkan tangannya.

“Ayahnya juga memberitahu, anak dia akan menelefon kampung, paling kurang dua kali seminggu. Dan, walaupun dia tidak ada pekerjaan tetap, kerjanya pun tidak menentu dengan gaji yang kecil tetapi setiap kali mendapat gaji, ayahnya memberitahu, dia tidak pernah lupa memberikan sedikit kepada emaknya. Walaupun cuma RM50. Jadi, bayangkan walaupun hampir tiap-tiap bulan dia tidak cukup duit, tetapi dia masih ada perasaan bagi membantu orang tua. Itulah namanya tanggungjawab!”

Aku tergamam. Aku sebenarnya tidak menyangka ayah aku menceritakan perkara itu juga kepada ayah Seroja.

“Ooo... tanggungjawab,” Hanya itu kata Izal sambil mengangguk-angguk

Ayah Seroja menyambung, “Tanggungjawab itu, bukan bermakna apabila kita kaya sahaja kita perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab itu adalah sesuatu yang kita pegang semasa kita susah dan semasa kita senang. Lalu, dalam rumahtangga, bukan selamanya senang. Lebih banyak masa susahnya. Jadi, pak cik akan berasa lega, kerana tahu anak pak cik berada dalam tangan lelaki yang bertanggungjawab.”

“Betul juga pak cik. Lagipun Saiful ini, setahu saya dia tidak pernah tinggal sembahyang dan tidak ada girlfriend sebab takut perempuan,” tambah Izal yang membuatkan aku tersipu-sipu. Tidak sangka Izal memuji aku.

“Sembahyang itulah perkara utama yang pak cik tanya daripada ayah dia, dan girlfriend pun pak cik ada tanya.” Ayah Seroja kembali ketawa kecil.

“Susah mahu cari orang seperti pak cik pada zaman ini. Zaman sekarang, semua mahu menantu kaya,” tambah Izal lalu aku nampak wajahnya tiba-tiba murung. Mungkin dia sedang bercerita tentang dirinya secara tidak sedar.

“Semasa pak cik mengahwini ibu Seroja, hidup pak cik pun susah. Pak cik juga orang susah, cuma bekerja sebagai kerani, sedangkan ibu Seroja itu anak orang kaya kampung. Alhamdulillah, keluarga isteri pak cik jenis yang terbuka. Lalu, mengapa pak cik tidak memberi peluang kepada orang yang susah, sedangkan pak cik dahulu pun diberi peluang. Yang utama, sebab dia susah bukan kerana dia malas, tetapi belum sampai rezeki. Besar bezanya, orang malas dengan orang yang belum ada rezeki. Kalau susah sebab duduk rumah dan tidur berguling-guling, memang pak cik tidak terima juga,” jelas ayah Seroja dengan panjang lebar.

Aku berasa mula sedikit lega. Tidak sangka betul aku, begitu fikiran ayah dan emak Seroja. Perlahan-lahan, perasaan malu aku itu mula berkurang. Perlahan-lahan juga, curiga aku kepada Seroja ikut berkurang.

“Anak pak cik pun hebat juga. Dia ikut kata pak cik. Zaman sekarang, biasanya semuanya sudah ada boyfriend dan girlfriend,” kata Izal. Aku tahu, Izal juga sedang memasang umpan bagi mengetahui latar belakang Seroja pula. Aku kembali berdebar-debar.

“Alhamdulillah. Pak cik sangat bersyukur diberi anak sebegitu. Mulanya, pak cik khuatir juga, tetapi selepas seminggu, Seroja kata setuju. Cuma pak cik tidak tahu sebab apa dia setuju, mungkin Saiful boleh tanya dia sendiri selepas nikah nanti,” kata ayah Seroja, lalu dia, isterinya dan Izal ketawa bersama. Tinggal aku dan Seroja sahaja yang duduk terdiam-diam malu. Sempat aku menjeling Seroja, dan bertanya dalam hati, “Mengapa kamu setuju dengan lelaki seperti aku?'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Followers

nur diana fatimah