Sepanjang perjalanan balik, aku berasa tidak puas hati
dengan diri aku. Mengapa aku tiba-tiba menjadi kaku. Sepatutnya, pada waktu
itulah aku banyak tanya bagi menyiasat mengapa dia dan keluarga dia memilih
aku.
Cuma malam ini aku berasa sedikit gerun. Alamat rumah Seroja,
aku boleh tanya ayah aku, tetapi adakah patut aku bawa ayah dan emak aku
sekali? Tidak.. tidak.. bukannya aku tidak tahu, biasanya kalau emak ada
sekali, habis semua rahsia anak dia ceritakan. Seronok betul cerita rahsia
anaknya.
Lagipun aku ada banyak rahsia yang tidak patut Seroja dan
emak ayahnya tahu. Rahsia yang aku paling takut emak akan beritahu adalah,
hampir setiap bulan aku masih lagi meminta duit daripada emak aku. Memang
memalukan tetapi untuk pergi seorang diri pula, memang aku tidak yakin.
Akhirnya, aku ada idea paling bernas. Aku terus melencong ke
rumah kawan lama aku, Izal. Bukan setakat kawan lama, tetapi juga kawan karib.
Aku yakin dia ada di rumah, kerana dia juga senasib dengan aku, belum ada kerja
tetap. Bezanya, dia bertarung hidup dikampung, dan aku bertarung hidup di kota.
Sampai sahaja di rumah Izal, aku lihat Izal sedang duduk
ditangga sambil bermain gitar. Itulah kemahiran Izal yang aku sangat cemburu.
Aku tidak pandai bermain gitar dan akibatnya….oh…ada lagi rupanya kemahiran Izal
yang aku tidak ada. Izal pandai mengorat gadis dengan bermain gitar, dan Izal
sangat berani berhadapan dengan perempuan, tidak seperti aku. Itulah akibatnya,
aku tidak ada keyakinan diri apabila berhadapan dengan perempuan.
“Lama tak Nampak,” kata Izal sebaik aku duduk disebelahnya.
“Taklah lama mana. Baru dua bulan lebih.”
“Lamalah tu.”
Aku diam, dan cuba mendengarkan petikan gitar lagu rock
kapak, ‘Suci Dalam Debu.’ Aku cuba menyusun ayat, bagi mengajak Izal menemani
aku malam ini, tetapi masih belum ada ayat yang bagus.
“Aku dengar seminggu lagi kau nak kawin. Kau tak jemput aku
pun.” Kata Izal, dan itu secara tidak langsung memberikan aku jalan bagi
melaksanakan rancangan aku.
“Ini majlis sebelah pihak perempuan, jadi mereka jemput
sebelah perempuan sahaja.”
“Sebelah lelaki bila?”
Aku diam, kerana aku tidak tahu bila. Sebab dengan kewangan
aku sekarang, hiding mi goring kepada tetamu pun aku tidak mampu.
“Tengoklah, kalau ade kad aku sampai kerumah kau, kau
pergilah.”
“Izal semakin merancakkan petikan gitarnya. Kini lagu Adele
pula, ‘Someone Like You’. Entah mengapa, lagu yang temanya kecewa sahaja dia
mainkan petang ini.
“Dia cantik tak?” Izal memandang dengan senyuman penuh
harapan.